Monday, August 10, 2009

"SETTING KERJA SOSIAL"

Dalam kerja sosial, terdapat beberapa golongan individu yang menghadapi masalah atau ketidakfungsian dan menjadi kelompok sasaran utama bagi pekerja sosial untuk membantu mereka meningkatkan potensi dan keupayaan diri. Antara golongan ini adalah:

Golongan penagih dadah


Penagih-penagih dadah diberi rawatan khusus dan pemulihan dari segi rohani dan jasmani agar mereka dapat pulih dan diterima semula dalam masyarakat.

Golongan orang kurang upaya
Masyarakat perlu prihatin terhadap golongan ini kerana mereka tidak berupaya dari segi fizikal dan memerlukan bantuan. Kemudahan untuk mereka juga harus di pertingkatkan dari masa ke semasa.



Bagi individu yang mengalami kecacatan mental seperti syndrome down ini, penjagaan dan rawatan pemulihan yang khusus diberikan untuk mereka supaya sekurang-kurangnya mereka mampu menguruskan diri mereka sendiri.

Golongan warga emas


Golongan ini sepatutnya diberi penjagaan rapi dan mempunyai tempat penjagaan yang kondusif agar kebajikan mereka terjamin.

Golongan miskin


Golongan miskin bukan sahaja terdapat di kawasan luar bandar, malah di bandar-bandar besar. Ada juga di antaranya yang mengalami kecacatan fizikal meminta sedekah dan mengharapkan bantuan dari orang ramai yang bersimpati.

"Apakah persepsi anda terhadap golongan-golongan ini?
Bantulah mereka menjalani hidup seperti insan lain yang sempurna...."


Friday, August 7, 2009

"KEBAJIKAN SOSIAL DALAM KONTEKS SATU MALAYSIA"


Boring juga asyik berbicara menggunakan bahasa kedua. Walaupun ianya penting pada masa kini, tetapi bahasa ibunda Negara Malaysia perlu diletak di tempat yang pertama. Bertepatan dengan konsep yang akan dibincangkan kali ini, saya bercadang untuk berbahasa ibunda. Mari renungkan bersama. =)



RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, Kebajikan Sosial merupakan satu sistem perkhidmatan sosial dan institusi yang tersusun dan terancang. Ia direka untuk membantu individu dan kumpulan mencapai taraf hidup dan kesihatan yang standard serta hubungan sosial dan perorangan yang membenarkan mereka membina kapasiti dan mempromosikan kesejahteraan hidup yang harmoni berdasarkan kepada keperluan keluarga dan masyarakat.

Untuk mengkaitkan konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita baru-baru ini dengan kebajikan sosial, kita perlu memahami dahulu konsep 1 Malaysia itu. 1 malaysia merupakan gagasan bagi memupuk PERPADUAN di kalangan rakyat yang berbilang kaum dengan berteraskan nilai-nilai penting iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan, dan budaya inovasi, yang seharusnya menjadi amalan rakyat Malaysia. Ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, kea rah mencapai kemajuan pembangunan yang lebih tinggi untuk rakyat dan Malaysia. Formula yang akan membantu memastikan Wawasan 2020 hanya akan tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan menjadi amalan setiap lapisan masyarakat.

Bagi mencapai status Negara maju, syarat utama yang diperlukan ialah Negara yang kukuh dan stabil. Ia hanya akan dapat dicapai apabila rakyat bersatu padu. Prinsip keadilan untuk semua kaum menjadi asas kepada agenda ini. Ini bererti nasib semua kaum akan terbela dan tiada pihak yang akan terpinggir. Oleh itu, dasar kerajaan dan peruntukan Perlembagaan yang dibuat akan memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukan. Untuk mencapai kemajuan Negara, rakyat perlu didahulukan.

Jika kita perhatikan dan mendalami pernyataan ini, “Untuk mencapai kemajuan Negara, rakyat perlu didahulukan”, dapat kita lihat bahawa kebajikan sosial untuk semua rakyat Malaysia akan terbela. Ini kerana kemajuan Negara bergantung kepada kualiti rakyatnya. Rakyat merupakan asset Negara yang akan menjadi penggerak dan penentu utama jatuh bangun Negara. Kegagalan individu sebagai rakyat menjalankan fungsinya akan mempengaruhi proses pembangunan Negara. Justeru, langkah bijak kerajaan memperkenalkan konsep 1 Malaysia ini ada relevennya. Pembelaan yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan yang memerlukan ini akan membantu individu membina kapasiti dan meningkatkan kesejahteraan hidup yang harmoni serta menjadikan masyarakat Malaysia lebih hebat dan kompeten. Dengan lahirnya masyarakat yang hebat, barulah cita-cita Negara mencapai Wawasan 2020 seterusnya menjadi Negara maju akan mudah dicapai.